KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap peranan besar wanita sebagai nadi kekuatan keluarga, tiang seri masyarakat serta penggerak penting kemajuan negara.
Dalam hantaran di Facebook sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa, Anwar menekankan bahawa di sebalik keluarga yang utuh dan masyarakat yang sejahtera, terserlah pengorbanan, ketabahan serta kebijaksanaan wanita yang tidak pernah jemu mencurahkan kasih sayang demi masa depan yang lebih baik.
Beliau berkata, sumbangan wanita bukan sahaja penting dalam institusi keluarga, malah turut memainkan peranan besar dalam pembangunan masyarakat dan negara.
“Secara peribadi, saya amat menghargai segala pengorbanan wanita dalam kehidupan saya sendiri khususnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta anak-anak yang sentiasa menjadi sumber kekuatan, kesabaran dan dukungan sepanjang perjalanan perjuangan ini,” katanya.
Menurut Anwar, kekuatan yang sama juga terpancar daripada jutaan wanita di seluruh negara termasuk para ibu, isteri, anak, pendidik, penjaga serta pemimpin masyarakat yang setiap hari berjuang dalam senyap demi keluarga dan negara.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar terus menghargai peranan dan sumbangan besar wanita serta memastikan mereka terus dihormati, diperkasa dan diberikan ruang yang adil untuk menyumbang kepada kemajuan negara.
“Kalian adalah kekuatan, harapan dan masa depan negara,” katanya.








