‘Wanita Bukan Kelas Kedua, Simbol Kelemahan’ – Nurul Izzah

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menegaskan bahawa wanita tidak seharusnya dilihat sebagai golongan kelas kedua atau dijadikan sasaran penghinaan dalam wacana politik.

Kenyataan tegas itu dibuat susulan sindiran sinis oleh seorang pemimpin PAS yang mengaitkan kepimpinan wanita dengan binatang ternakan iaitu satu perbandingan yang disifatkan sebagai menghina dan merendahkan martabat wanita.

Lebih membimbangkan, kata Nurul Izzah, kenyataan tersebut bukan sahaja tidak ditarik balik, malah dipertahankan oleh seorang lagi pemimpin kanan parti berkenaan.

“Lebih mengecewakan, kenyataan itu didakwa hanya satu analogi dan tiada niat menghina.

“Namun kita semua faham, ia adalah cubaan memperlekeh dan merendahkan martabat wanita,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, Islam tidak pernah merendahkan wanita, apatah lagi mereka yang memikul tanggungjawab kepimpinan dengan penuh amanah dan pengorbanan.

“Wanita bukan kelas kedua. Mereka bukan simbol kelemahan.

“Wanita juga bukan pendatang baru dalam kepimpinan. Mereka adalah kesinambungan legasi yang berakar dalam sejarah Islam,” katanya lagi.

Nurul Izzah turut melahirkan kekesalan terhadap budaya politik yang menjadikan penghinaan terhadap wanita sebagai bahan sindiran atas nama ‘teguran’, yang menurutnya merupakan satu bentuk penyalahgunaan agama.

“Sikap begini hanya menghalalkan budaya politik toksik yang memperlekeh dan mengeji. Ini bukan akhlak Islam,” katanya.

Anda Mungkin Berminat