Wanita cuba peluk Sultan Perak di Pentas Utama Hari Kebangsaan ditahan

IPOH: Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Perak pagi ini kecoh seketika apabila seorang wanita tiba-tiba naik ke pentas utama ketika keberangkatan tiba Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Kejadian berlaku sekitar jam 8.20 pagi di pentas utama ketika lagu negeri Perak sedang berkumandang. Wanita berkenaan dilaporkan cuba menghampiri serta memeluk baginda Sultan, namun berjaya dihalang oleh pasukan keselamatan yang bertugas.

Ketua Polis Daerah Ipoh berkata dalam kejadian kira-kira 8.20 pagi itu, wanita berkenaan cuba mendekati dan memeluk Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, Sultan Perak, sebelum berjaya ditahan pasukan keselamatan.

Beliau berkata wanita berusia 41 tahun itu dipercayai memasuki pentas melalui bahagian tepi sebelah kanan sebelum sempat sampai ke hadapan pentas.

“Suspek dikenal pasti sebagai Nurhaswani Afni binti Mohamad Zorki, bekerja di sebuah restoran makanan segera di Jelapang. Semakan mendapati beliau mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah serta pernah menerima rawatan pakar neurologi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek akan menjalani ujian air kencing dan akan dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HPRB) bagi pemeriksaan lanjut.

Beliau menegaskan bahawa insiden itu berjaya dikawal segera dan sambutan rasmi Hari Kebangsaan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan lain.

Difahamkan, wanita berusia 40-an itu memasuki kawasan pentas melalui bahagian tepi sebelum berjaya ditahan sejurus berada di atas pentas.

Siasatan awal mendapati wanita tersebut mendakwa Sultan Perak adalah ‘suaminya’ dan memanggil baginda dengan nama ‘Nazri’. Rekod juga menunjukkan beliau pernah terlibat dalam beberapa kes sebelum ini serta menerima rawatan berkaitan masalah saraf otak.

Pihak polis mengesahkan wanita tersebut kini ditahan bagi siasatan lanjut. Ujian air kencing serta pemeriksaan kesihatan di hospital akan dijalankan bagi menentukan keadaan mental dan fizikalnya.

Sambutan Hari Kebangsaan bagaimanapun diteruskan seperti biasa selepas insiden itu, dengan kawalan keselamatan diperketatkan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat