Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Terengganu menjatuhkan hukuman dendan RM9,000 dan penalti khas hampir RM537,000 ke atas seorang pengarah sebuah syarikat pembinaan ekoran kegagalan mengemukan penyata pendapatan syarikat selama dua tahun kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Nur Faraziela Mohamad, 42, turut berdepan hukuman penjara sembilan bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan selain perlu menjelaskan cukai tertunggak bagi tahun taksiran 2019 dan 2020 sebanyak RM178,849.71.
Majistret Yuhanis Mohd Roslan menjatuhkan hukuman itu, selepas Nur Faraziela mengaku bersalah gagal mengemukakan penyata pendapatan syarikat bagi 2019 dan 2020, masing-masing berjumlah RM28,083 dan RM900,315.
Pendapatan syarikat bagi 2019 boleh dikenakan cukai RM4,774.11, manakala bagi 2020 pula boleh dikenakan cukai RM174,075.60.
Sebagai pengarah syarikat, wanita itu dikehendaki mengemukakan penyata pendapatan syarikat kepada Ketua Pengarah LHDNM dalam tempoh tujuh bulan dari tarikh penutupan akaun.
Nur Farziela didakwa mengikut Seksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya dan penalti khas tiga kali ganda jumlah cukai dikenakan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa LHDNM, Noor Mazida Buliami, manakala tertuduh tidak diwakili peguam menurut Berita Harian.
Baca juga: