Seorang wanita yang sedang hamil meninggal dunia dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan Jalan Lintas berdekatan City Mall, Kota Kinabalu Sabah, awal pagi tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada pukul 3.58 pagi melalui talian MERS999.
Susulan itu, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas digegaskan ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Selvister Yamud berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta Proton Iswara dan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux bertembung di lokasi terbabit.
Setibanya di lokasi kejadian, bomba mendapati dua wanita dan seorang lelaki cedera parah dalam kereta terbabit.
“Pasukan Bomba bertindak mengeluarkan kesemua mangsa dengan menggunakan peralatan khas.
“Salah seorang mangsa wanita yang terlibat dipercayai sedang hamil disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan KKM,” katanya.

Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala dua lagi mangsa cedera dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Sementara pemandu pacuan empat roda yang merupakan lelaki berusia 33 selamat tanpa sebarang kecederaan.
Baca lagi: