Wanita hina imam dan bilal di masjid diperintah jalani pemantauan psikiatri

Wanita yang yang menceroboh Masjid Jamek Ar-Rahman, Batu Feringghi, Pulau Pinang dan menghina aktiviti keagamaan imam dan bilal di masjid tersebut menggunakan perkataan kesat diperintahkan untuk menjalani pemerhatian psikiatrik selama sebulan.

Perintah tersebut dikeluarkan Majistret, Nadratun Naim Mohd Saidi, terhadap Sofiah Abdul Majid, 65, yang jelas menunjukkan ketidakstabilan mental sepanjang prosiding di mahkamah.

“Tertuduh menunjukkan kelakuan kurang stabil dan perlu menjalani pemerhatian di hospital mental selama sebulan mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah dan diminta untuk datang semula ke mahkamah bersama keputusan tersebut pada 19 April depan,” katanya lapor Berita Harian.

Selain di dalam mahkamah, Sofiah juga dikatakan membuat kecoh sebelum memasuki mahkamah dan bertindak kamera seorang jurugambar yang hadir pada prosiding berkenaan sebanyak dua kali.

Terdahulu, tular video wanita terbabit yang mengeluarkan kenyataan buruk terhadap imam dan bilal di masjid terbabit, menyatakan mereka membaca Al-Quran seperti anjing menyalak dan dirasuk hantu setelah memasuki kawasan solat lelaki.

Kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Sofiah tidak menjawab sama ada dia memahami atau tidak selepas pertuduhan dibacakan, bahkan hanya mengatakan segala pertuduhan tersebut tidak benar.

“Itu tuduhan orang terhadap saya kerana semua itu bohong, jadi bagaimana saya perlu faham sekiranya ia adalah sebuah pembohongan?” katanya.

Kes ditangguh sehingga 19 April depan untuk menunggu laporan psikiatri.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat