Wanita Jepun jatuh dari kondo sah isteri Ridz Okumura

PETALING JAYA: Wanita warga Jepun yang maut selepas terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di Subang Jaya pada Jumaat lalu disahkan isteri kepada pempengaruh media sosial, Ridz Okumura atau nama sebenarnya, Abdul Ridzuan Abdul Mutalib.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang mengesahkan identiti mangsa itu berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) kerana setakat ini tiada unsur jenayah.

“Bagaimanapun, kita akan menyiasat secara keseluruhan kes ini termasuk dari sudut jenayah atau tindakan sendiri.

“Kita sudah mengambil keterangan Ridz Okumura,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, lapor media tempatan.

Lantaran itu, Hussein meminta orang ramai tidak membuat sebarang komen berhubung kes ini tanpa sebarang kesahihan.

Sebelum ini, Ridz Okumura melalui media sosial memaklumkan isterinya, Akiko Okumura sudah pergi selama-lamanya dan meninggalkan beliau serta anak lelakinya, Sky Taizo Okumura.

Pada 28 Februari lalu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat dalam kenyataan berkata, seorang wanita warga Jepun ditemukan maut dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di SS16 Subang Jaya.

Beliau berkata, ketika ditemui mangsa yang berusia 50-an sudah meninggal dunia dan dalam keadaan tertiarap di atas tanah.

Katanya, siasatan awal pada tubuh mangsa dan di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

Mangsa adalah suri rumah dan sudah menetap di Malaysia kira-kira 14 tahun.

Anda Mungkin Berminat