Wanita KEADILAN mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan ugutan bunuh yang diterima Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan mahu pelaku dibawa ke muka pengadilan.
Naib Ketua Wanita KEADILAN, Sangetha Jayakumar berkata serangan dan ugutan bunuh sebegitu merupakan satu bentuk ancaman yang membahayakan nyawa seseorang.
“Seluruh pimpinan Wanita KEADILAN bersolidariti dengan Teresa Kok dalam menghadapi ugutan ini dan kami tidak akan bertolak ansur dalam membiarkan ugutan sebegini menular dalam budaya masyarakat Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, Sangetha turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menolak sebarang ugutan ataupun ancaman berbentuk keganasan dan jenayah dalam isu melibatkan perbezaan pendapat politik.
“Tindakan yang melampau dan ekstrem hanya akan mengganggu gugat keharmonian dalam masyarakat yang kita bina selama ini,” ujarnya.
Wanita KEADILAN turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak berkuasa yang pantas membuat tindakan selepas laporan dibuat, di samping menyatakan keyakinan mereka bahawa pihak polis akan melakukan siasatan terperinci mengenai isu tersebut.
Terdahulu, Kok dalam hantaran menerusi Facebook mendakwa beliau menerima ugutan bunuh dalam surat yang dihantar ke rumahnya bersama dua butir peluru hidup.

Kok yang juga Naib Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) memaklumkan surat ugutan berserta peluru itu ditemui dalam sampul yang diletakkan di peti surat kediamannya.
Baca juga: