Wanita maut, dua cedera selepas kereta terbabas dalam longkang

Seorang wanita meninggal dunia manakala dua lagi mengalami cedera ringan selepas kenderaan yang dinaiki terbabas ke dalam longkang di Kampung Kawang, Kinarut, Sabah pada Isnin.

Komander Operasi, PBK II Mohd Hamdani Mohd Harith berkata, seramai 11 orang anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Papar telah bergegas ke lokasi kejadian bersama jentera FRT, kenderaan Unit EMRS dan Toyota Hilux sebaik dihubungi pada pukul 4.46 petang.

Menurutnya, kemalangan tersebut melibatkan sebuah kenderaan jenis Proton Pesona telah hilang kawalan akibat permukaan jalan raya yang licin lalu terbabas sendiri ke longkang di mana jaraknya kira-kira 50 meter.

“Terdapat seorang wanita berusia 44 tahun telah terpelanting keluar dari kenderaan.

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM di lokasi kejadian kemudian diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, dua lagi mangsa iaitu lelaki berusia 16 dan 39 tahun mengalami kecederaan ringan dan salah seorang dari mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.

Difahamkan, kedua-dua mangsa telah diberikan perawatan awal oleh anggota Unit EMRS sebelum dihantar ke Hospital Papar dengan menaiki ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat