Wanita maut, Myvi langgar treler

Seorang wanita meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kenderaan dengan treler di Lebuhraya Merapoh, Gua Musang, Kelantan pada Khamis.

Menurut Komander Operasi, Pegawai Kanan Bomba (PBK) II Muhammad Shaheer Safari Mohd Noor, seramai empat mangsa yang menaiki kenderaan jenis Perodua Myvi yang melanggar treler yang ada di bahu jalan.

“Dalam kejadian itu, empat orang didapati berada dalam kenderaan Perodua Myvi. Salah seorang mangsa iaitu wanita dewasa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mayatnya diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan lanjut.

“Manakala, tiga lagi mangsa iaitu seorang wanita dewasa telah mengalami kecederaan parah dan dua lelaki dewasa mengalami kecederaan ringan. Kesemua mangsa telah diserahkan kepada petugas perubatan KKM untuk menerima rawatan lanjut.

“Selain itu, terdapat dua lagi mangsa iaitu pemandu dan kelindan lori treler yang terlibat dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan serta operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada pukul 9.01 pagi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Seramai lapan anggota digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi penyelamatan dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Gua Musang selepas dimaklumkan oleh Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kelantan.

Dianggarkan lokasi kejadian adalah sejauh 55 kilometer daripada balai.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat