TANAH MERAH: Tragedi banjir di Kampung Batu 5, Jalan Jedok, di sini, awal pagi Rabu meragut nyawa seorang wanita, manakala seorang lagi berjaya diselamatkan selepas kereta yang dinaiki dihanyutkan arus deras.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.13 pagi mengenai kejadian tersebut.
“Jentera bomba tiba di lokasi tiga minit kemudian dan operasi mencari serta menyelamat segera dijalankan.
“Mangsa pertama, Shamila Suzie Ahmad Basharuddin berjaya diselamatkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, seorang lagi mangsa, Siti Gayah Zakaria, dilaporkan hilang sebelum ditemukan pada pukul 7.49 pagi tidak jauh dari lokasi kereta tersangkut.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Operasi menyelamat melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanah Merah dengan kekuatan tiga anggota PBK, seorang PB dan dua PBB, menggunakan sebuah jentera FRT.
Mangsa yang selamat dan mangsa yang maut seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Bomba turut mengingatkan orang awam agar sentiasa berhati-hati ketika memandu di kawasan banjir dan mengelakkan laluan berisiko dihanyutkan arus deras.








