Wanita maut, suami dan dua anak cedera dalam nahas dua kenderaan

KULAI: Seorang wanita maut dalam nahas dua buah kereta di kilometer 39.9 Lebuhraya Utara Selatan (arah Selatan) di daerah Kulai pada Ahad pukul 5:30 petang.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Leng menerusi satu kenyataan media hari ini yang memaklumkan kejadian tersebut membabitkan kemalangan dua buah kereta.

Beliau berkata, siasatan mendapati kemalangan berpunca apabila Perodua Myvi yang dipandu lelaki tempatan berusia 30 tahun bersama-sama isterinya berusia 29 tahun serta dua anak berumur empat tahun dan empat bulan hilang kawalan ketika berada di lorong kiri.

“Kenderaan tersebut melanggar sebuah motokar Proton Persona yang dipandu lelaki tempatan berusia 32 tahun yang berada di lorong kanan.

“Pelanggaran ini menyebabkan Perodua Myvi terbalik dan terbabas ke lorong kecemasan. Kemalangan itu menyebabkan penumpang Perodua Myvi berumur 29 tahun meninggal dunia di tempat kejadian,” ujarnya.

Difahamkan, pemandu dan dua anaknya itu dibawa ke Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim Kulai untuk rawatan.

Tambahnya, kes tersebut kemudiannya disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Seng Lee turut menyarankan kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kemalangan terbabit boleh menghubungi segera pegawai penyiasatan kes Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim di talian 0177573507 atau hadir ke bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik ibu pejabat polis Daerah Kulai.

Anda Mungkin Berminat