MUAR: Polis Daerah Muar memohon kerjasama orang ramai bagi mengesan seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak awal bulan ini.
Menurut kenyataan rasmi Ketua Polis Daerah Muar, ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz, wanita berkenaan dikenali sebagai Puteri Janna binti Mansor, berusia 28 tahun dan merupakan orang kurang upaya (OKU lembam).
“Wanita tersebut telah keluar dari rumah di alamat No. 6 Jalan Maju, Taman Limbong Maju, Jalan Temenggong, Parit Jawa pada 7 Mei 2026 kira-kira pukul 3.00 petang dan sehingga kini masih belum pulang,” kata kenyataan itu.
Kali terakhir mangsa dilihat memakai seluar jeans panjang warna hitam dan baju kemeja yang tidak pasti warnanya serta menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 berwarna biru/putih dengan nombor pendaftaran yang tidak diketahui.
Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan atau mengenali wanita berkenaan agar tampil membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan atau mengenali wanita berkenaan diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Parit Jawa di talian 06-9874122, Hotline IPD Muar 069564800 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” menurut kenyataan itu.
ACP Raiz Mukhliz turut berkata, kerjasama masyarakat amat penting dalam usaha mengesan individu hilang.








