KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyeru usaha lebih menyeluruh bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam kepimpinan dan proses membuat dasar negara sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026.
Ketua Penerangan Wanita PKR Pusat, Datuk Ginie Lim berkata, tema “Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara” menegaskan kepentingan strategik penglibatan wanita dalam kepimpinan serta pembangunan nasional.
Menurut beliau, Malaysia telah menunjukkan komitmen terhadap pemerkasaan wanita melalui pelbagai inisiatif termasuk Deklarasi Beijing, Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita serta Dasar Wanita Negara 2009 yang menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan wanita dalam pembuatan dasar.
Bagaimanapun, katanya, tahap representasi wanita dalam politik negara masih rendah apabila hanya 13.5 peratus daripada Ahli Parlimen terdiri daripada wanita, manakala di peringkat Dewan Undangan Negeri sebanyak 12 peratus dan 20 peratus dalam kalangan senator.

“Di peringkat eksekutif pula, wanita hanya mengisi sekitar 14 peratus jawatan menteri dan 18 peratus timbalan menteri,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah beliau, kedudukan Malaysia di tangga ke-128 daripada 148 negara dalam subindeks Pemerkasaan Politik bagi Laporan Jurang Gender Global 2025 turut menunjukkan keperluan mendesak untuk melakukan reformasi struktur bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam kepimpinan negara.
Beliau berkata tokoh seperti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri wanita pertama negara membuktikan bahawa kepimpinan wanita mampu memacu pembaharuan institusi, mengarusperdanakan keadilan sosial serta memperkukuh tadbir urus.
Menurutnya lagi, kejayaan pemimpin wanita dalam pelbagai sektor turut membuktikan keupayaan intelektual, integriti dan visi strategik mereka yang penting bagi kemajuan negara.
“Pemerkasaan peranan wanita bukan sekadar agenda gender, sebaliknya satu keperluan asas pembangunan negara. Sasaran 30 peratus bukan sekadar angka, tetapi prasyarat penting untuk memastikan negara lebih demokratik, adil dan berdaya saing,” katanya.
Sehubungan itu, Wanita PKR menyeru seluruh masyarakat tanpa mengira latar belakang untuk memperkukuh usaha memartabatkan wanita sebagai tunjang pembangunan negara.
Beliau berkata hanya dengan memastikan kesaksamaan serta peluang yang adil, Malaysia mampu bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara yang maju, inklusif dan sejahtera.








