Wanita PKR Johor Yakin Nurul Izzah Bawa Nafas Baharu Untuk Parti

JOHOR BAHRU: Wanita PKR Johor menyatakan sokongan penuh terhadap pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), dengan keyakinan bahawa kepimpinan beliau akan membawa nafas baharu serta memperkukuh perjuangan reformasi parti.

Menurut Ketua Wanita PKR Cabang Pasir Gudang, Noraziah Mohd Razit, atau lebih dikenali sebagai Rozy Razit, Nurul Izzah adalah tokoh reformasi yang berpengalaman dan berprinsip serta menjadi inspirasi kepada ramai, khususnya golongan wanita muda.

“Beliau telah memainkan peranan penting sejak era awal Reformasi dan kekal konsisten dalam memperjuangkan keadilan sosial serta hak rakyat.

“Sokongan ini juga seiring dengan komitmen kami untuk melihat lebih ramai wanita diberi tempat dalam kepimpinan tertinggi parti,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambahnya, pencalonan Nurul Izzah selari dengan matlamat PKR untuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan wanita dalam jawatan tertinggi parti, sekali gus memperkukuh usaha memperkasa wanita dalam politik arus perdana.

“Kami percaya Nurul Izzah akan mampu membawa dinamisme baharu dalam hala tuju parti, memperkukuh struktur organisasi serta memperjuangkan agenda rakyat yang progresif dan inklusif,” katanya.

Wanita PKR Johor turut menzahirkan komitmen untuk terus menyokong kepimpinan yang berprinsip dan bersedia menghadapi cabaran politik semasa dengan semangat reformasi yang kukuh.

Anda Mungkin Berminat