GUA MUSANG: Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) tekad memastikan kemenangan calon Perpaduan dalam pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri.
Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek menyatakan komitmen mereka meraih sokongan dan kepercayaan rakyat di kawasan tersebut.
Jentera Wanita PKR digerakkan atas saranan Fadhlina, yang hadir dari pelbagai negeri untuk memberi sokongan dalam misi memenangkan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.
Walaupun sibuk dengan pelbagai program di tempat masing-masing, majoriti ahli Wanita PKR tetap hadir menunjukkan semangat perpaduan.
“Ada yang datang dengan menyewa bas khas, manakala yang lain menggunakan kenderaan masing-masing,” ujarnya pada Sabtu.
Dalam pada itu, kumpulan ‘task force’ berpengalaman telah berkampung di Nenggiri sejak seminggu sebelum penamaan calon.
‘Task force’ tersebut dipimpin oleh Ketua Wanita PKR Negeri Kelantan, Nor Azmiza Mamat dan turut dibantu oleh Ketua Wanita PKR Cabang Gua Musang, Hashimah Daud.
Komitmen dan usaha gigih Wanita Keadilan di Nenggiri menunjukkan kesungguhan mereka dalam memastikan kemenangan calon Perpaduan.
“Perjuangan kita adalah untuk memastikan keadilan dan perpaduan terus kukuh di Nenggiri,” tambah Fadhlina.
Oleh: Shafira Aziz