PETALING JAYA: Langkah baharu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memperkukuh keselamatan dan disiplin di sekolah mendapat sokongan penuh daripada Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, yang menyifatkannya sebagai bukti kesungguhan kerajaan menjaga kesejahteraan murid dan guru di seluruh negara.
Antara inisiatif yang diumumkan termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), penempatan guru baharu, pelantikan pembantu warden asrama sepenuh masa serta penubuhan Jawatankuasa Pemuafakatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Wanita PKR dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, langkah itu dilihat sebagai usaha menyeluruh yang bukan sahaja menangani isu keselamatan tetapi juga membina persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan berdaya tahan.
Menurutnya, KPM turut memperkenalkan ‘Smart Support Team’, Polisi Perlindungan serta Program Saringan Kesihatan Mental Murid yang merupakan satu pendekatan holistik yang menggabungkan aspek fizikal, emosi dan nilai pendidikan.
“Langkah ini bukan sekadar reaksi terhadap insiden kebelakangan ini tetapi satu pembaharuan sistemik yang menggabungkan aspek fizikal, emosi dan nilai pendidikan,” menurut kenyataan itu.

Wanita PKR Selangor turut menyambut baik usaha memperkukuh Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) serta memperluas ruang dialog melalui inisiatif seperti kotak suara murid yang memberi peluang kepada pelajar menyuarakan pandangan mereka secara terbuka dan selamat.
Kenyataan itu menegaskan bahawa pendekatan pendidikan inklusif dan berasaskan empati ini mencerminkan semangat Reformasi Pendidikan yang digerakkan di bawah Kerajaan MADANI.
“Keselamatan dan kesejahteraan murid adalah tanggungjawab bersama.
“Sekolah mesti kekal sebagai ruang aman untuk anak-anak membina masa depan mereka,” tambahnya.








