KUALA LUMPUR: Wanita PKR menyatakan sokongan penuh terhadap arahan Jabatan Peguam Negara untuk menggali semula jenazah Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir bagi membolehkan bedah siasat dijalankan semula.
Ketua Penerangannya, Datuk Ginie Lim berkata langkah itu adalah tepat bagi memenuhi hasrat keluarga arwah serta memastikan kebenaran dapat ditegakkan melalui proses undang-undang.
“Kes tragis ini melangkaui batas kaum, agama dan politik. Kebenaran hanya dapat dicapai melalui siasatan bebas, telus dan berlandaskan undang-undang, bukan melalui tuduhan liar tanpa bukti yang menambah luka keluarga serta merosakkan integriti sistem pendidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menghargai komitmen Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang memberi jaminan tidak akan melindungi mana-mana pihak sekiranya wujud salah laku, selain memastikan keluarga dan warga sekolah terus mendapat sokongan sewajarnya.
“Wanita PKR berdiri teguh bersama keluarga arwah dan bersolidariti dengan seluruh rakyat Malaysia dalam menuntut keadilan.
“Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan keluarga diberi kekuatan menghadapi ujian ini,” katanya.
Baca juga: