Oleh: Tyah Helmi
SEORANG model Russia, Alisa Kasimova tampil membuat laporan polis sejurus mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang usahawan yang dikenali sebagai “Hazren Rich Empire” baru-baru ini.
Menerusi kenyataannya di laman sosial Thread pada Jumaat, laporan itu dibuat setelah mengetahui dirinya dirakam secara diam-diam oleh lelaki itu ketika sedang menjamah makan malam di sebuah restoran baru-baru ini.
“Semua orang menyuruh saya ke balai polis, dan saya sudah pun berbuat demikian.
“Saya lakukannya bukan kerana marah, tetapi kerana berdiam diri hanya akan melindungi mereka yang menyakiti orang lain. Tiada wanita yang seharusnya takut untuk mempertahankan diri,” katanya lagi.
Menurut Alisa, hanya sebahagian daripada dokumen laporan itu dikongsikan kepada umum kerana mengandungi maklumat peribadi serta atas nasihat pihak polis yang sedang menyiasat kes berkenaan.
Sehubungan itu, tindakan berani Alisa menerima pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial tempatan, termasuk seorang pengguna dikenali sebagai @nurbella92, yang menasihatkan agar wanita itu tidak menarik balik laporan tersebut walaupun lelaki terbabit telah memohon maaf secara terbuka.
“Sebagai rakyat Kelantan yang tersakiti, saya mohon agar Alisa tidak menarik semula laporan itu. Biar undang-undang menentukan,” tulisnya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, @anadeqna, menyifatkan tindakan Alisa membuat laporan polis adalah langkah tepat memandangkan perbuatan usahawan tersebut amat memalukan.
“Betul, kami orang Kelantan yang malu dengan perangai bodoh lelaki itu. Isterinya pula tidak menegur, malah ketawa ketika kejadian. Tambahan pula, dia pengasas butik sangat memalukan,” katanya.
Terdahulu, Hazren Rich Empire menjadi tumpuan ramai selepas klip video siaran langsungnya di TikTok tular, menunjukkan dia mengeluarkan kata-kata berunsur lucah terhadap seorang wanita yang sedang makan di meja bersebelahan.
Lebih mengejutkan, insiden itu turut disaksikan isterinya sendiri.
Perbuatan tersebut mengundang kecaman hebat daripada orang ramai yang menganggap tindakannya sebagai tidak bermoral, tidak menghormati wanita dan mencemarkan imej usahawan tempatan.
Polis kini dilaporkan sedang menyiasat laporan yang dibuat oleh mangsa bagi menentukan tindakan lanjut terhadap individu terbabit.
Baca juga:








