KUALA LUMPUR: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Fauwaz Fadzil Noor menegaskan bahawa wanita memainkan peranan penting sebagai nadi kebangkitan dan kekuatan umat dalam perjuangan membela Gaza.
Berucap pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi, beliau menekankan bahawa perjuangan menegakkan kebenaran tidak hanya bergantung kepada keberanian lelaki, tetapi juga kepada ketabahan dan kesedaran wanita yang menjadi penggerak utama dalam jihad kemanusiaan.
“Perjuangan Sumud Flotilla Global menonjolkan semangat, kekuatan dan ketabahan wanita sebagai nadi kebangkitan serta harapan umat.
“Mereka bukan sekadar penyokong tetapi juga penggerak utama kesedaran membela kebenaran,” katanya disambut tepukan hadirin.
Majlis yang dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, para menteri serta ribuan rakyat Malaysia itu turut meraikan kepulangan 23 aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) yang baru tiba di tanah air selepas menyertai misi kemanusiaan ke Gaza.
Dr Fauwaz turut mengingatkan bahawa membela Gaza bukan hanya isu kemanusiaan semata-mata tetapi tanggungjawab iman dan ukhuwah Islamiah yang menuntut tindakan berterusan.
“Membela Gaza adalah tanggungjawab iman. Jika kita tidak mampu berada di medan perjuangan, doa dan kesatuan kita adalah senjata yang tidak harus dipandang ringan,” ujarnya lagi.
Beliau menyeru agar rakyat Malaysia terus memperkukuh sokongan kemanusiaan serta mendoakan keselamatan aktivis yang masih ditahan termasuk peserta Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG).
Himpunan malam tadi turut menyaksikan pelbagai wakil NGO Islam, tokoh agamawan dan rakyat pelbagai latar belakang bersatu suara menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin.
“Palestin akan terus hidup di hati rakyat Malaysia,” tegas Fauwaz menutup ucapannya.







