War Zone Championship Tidak Lulus KBS, Penganjur Berdepan Tindakan Undang-Undang

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan bahawa acara War Zone Championship tidak mendapat kelulusan rasmi daripada pihak kementerian, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap pematuhan undang-undang dalam penganjuran sukan berunsur antarabangsa.

Dalam satu kenyataan, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, setiap penganjuran acara sukan terutamanya yang melibatkan penyertaan dari luar negara, wajib mendapatkan kelulusan daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576].

“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ingin memaklumkan bahawa War Zone Championship tidak mendapat kelulusan daripada KBS,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang pelanggaran terhadap peraturan ini boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 36 Akta 576, yang memperuntukkan hukuman terhadap penganjur yang gagal mematuhi syarat kelulusan.

“KBS menasihatkan semua pihak agar mematuhi peraturan bagi menjamin integriti dan keselamatan sukan negara,” tegasnya.

Penganjur War Zone Championship kini berdepan kemungkinan tindakan undang-undang sekiranya didapati melanggar peruntukan Akta 576, sekali gus menjadi peringatan kepada semua pihak agar tidak memandang ringan keperluan kelulusan rasmi dalam penganjuran acara sukan berskala besar.

Anda Mungkin Berminat