PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (MARA) melancarkan satu inisiatif baharu dengan melantik warden sepenuh masa dari kalangan bekas anggota tentera di dua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), sebagai langkah tegas membanteras isu buli yang kian meruncing.
Menurut hantaran Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi di Facebook beliau, projek rintis selama enam bulan itu menyaksikan warden-warden berpengalaman mula bertugas secara rasmi di dua buah MRSM.
“Warden-warden bekas tentera sudah memulakan tugas mereka di MRSM Balik Pulau dan MRSM Besut.
“Ini merupakan projek rintis selama enam bulan sebagai satu inisiatif penting menangani isu buli yang wajib dibanteras dan diputuskan rantaian ganasnya,” katanya.
Tambah beliau, keberkesanan pelaksanaan itu akan dinilai secara menyeluruh selepas tempoh enam bulan dengan kerjasama Institut Kajian Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Beliau berkata, MARA turut mengambil kira pandangan warga pendidik dan masyarakat umum yang berpendapat bahawa tugas sebagai warden tidak lagi sesuai digalas oleh guru secara separuh masa.
Oleh itu, katanya, pelantikan warden sepenuh masa daripada kalangan pesara anggota beruniform yang telah menjalani tapisan ketat serta diberikan garis panduan kerja yang jelas dilihat sebagai pendekatan yang lebih praktikal dan berkesan.
“Justeru, inisiatif mengambil warden sepenuh masa dari kalangan pesara anggota beruniform yang sudah melalui tapisan ketat dan berpandukan garis panduan jelas mengenai skop kerja mereka merupakan satu pendekatan yang MARA cuba cetuskan dengan teliti,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan harapan agar pelaksanaan ini mampu memberi impak positif terhadap pembentukan sahsiah pelajar dan membanteras budaya buli yang telah lama berakar di sesetengah institusi pendidikan.