KLANG: Lima lelaki termasuk seorang warga asing ditahan kerana disyaki mencuri kabel dari sebuah kilang di Pulau Indah Industrial Park, Pandamaran, di sini, pada 24 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemilik kilang itu pada pukul 10.06 malam selepas premisnya diceroboh oleh sekumpulan lelaki sekitar pukul 6.55 petang.
“Sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dikejarkan ke lokasi dan menahan lima suspek yang berusia antara 25 hingga 44 tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan menemui beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk pecah masuk termasuk sebuah kenderaan pikap bersama kabel-kabel yang disyaki dicuri.
“Modus operandi suspek adalah dengan memotong mangga pintu pagar sebelum masuk ke kilang tersebut,” tambahnya.
Ramli berkata, siasatan lanjut mendapati dua daripada suspek memiliki enam rekod jenayah lampau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah masuk kilang dengan niat mencuri,” katanya.