KLANG: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menahan seorang lelaki warga asing disyaki terlibat dalam cubaan mencuri kabel berhampiran landasan kereta api di KM 37.478, sektor Telok Gadong–Teluk Pulai, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, dua anggota Polis Bantuan KTMB yang sedang menjalankan rondaan di kawasan ‘hotspot’ kecurian kabel terserempak dengan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan berhampiran landasan.
Menurut KTMB, suspek cuba melarikan diri sebaik dihampiri, namun berjaya ditahan oleh anggota Polis Bantuan selepas berlaku sedikit pergelutan di lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemui sebuah beg kecil, sebilah pisau dan gunting yang dipercayai digunakan bagi tujuan melakukan aktiviti jenayah tersebut,” menurut kenyataan KTMB pada Khamis.
Susulan tangkapan itu, suspek bersama barang bukti diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan pada jam 7.20 malam untuk siasatan lanjut.
Difahamkan, lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan dipercayai merupakan warga asing yang berada di negara ini secara tidak sah.
KTMB menegaskan, perbuatan menceroboh dan merosakkan harta benda kereta api merupakan kesalahan serius di bawah Akta Keretapi 1991 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
“Perbuatan ini boleh dikenakan tindakan tegas termasuk denda, penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan landasan diminta segera menyalurkan maklumat kepada Pusat Pengumpulan dan Penyaluran Maklumat Polis Bantuan KTMB atau memaklumkan kepada pihak polis berhampiran.
Baca juga:








