Warga asing ditahan kes video tular pukul anjing

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 45 tahun selepas tular video dia memukul seekor anjing di Senai, Johor.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya telah mengesan kejadian tersebut menerusi satu video yang dimuat naik oleh pemilik akaun Instragram Updateinfo11 melalui pautan berikut https://www.instagram.com/reel/DGhPJw0THoh/igsh=MXNpeG1seHN0NnJtMg%3D%3D.

Kata Seng Lee, pihaknya juga telah menerima satu laporan polis berkenaan kejadian itu daripada seorang lelaki warga tempatan berumur 33 tahun.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 24 Februari lalu, kira-kira jam 1.09 petang di sebuah kawasan rumah kedai di Senai.

“Hasil pemeriksaan mendapati anjing tersebut kini dalam keadaan stabil dan dijaga rapi oleh lelaki warga tempatan.

“Suspek yang ditangkap oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai pada 28 Februari untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 (1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Terdahulu, seorang lelaki dirakam memukul seekor anjing menggunakan satu objek.

Menurut kenyataan dari pemilik video, lelaki tersebut selalu membuat kacau terhadap anjing itu.

Bagaimanapun, anjing tersebut dipukul selepas cuba mempertahankan diri dengan menggigit lelaki tersebut menyebabkan dia bertindak memukulnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat