Warga Asing Sembunyi Atas Bumbung Elak Ditahan Imigresen

JOHOR BAHRU: Operasi penguatkuasaan dikenali sebagai OPS Sapu berjaya menahan seramai 49 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan di sekitar Johor Jaya pada Sabtu.

Tindakan itu sekali lagi menegaskan komitmen Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

Operasi tersebut melibatkan 24 pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasa Negeri Johor, yang bertindak hasil daripada risikan serta aduan masyarakat mengenai kehadiran PATI yang menetap di rumah kedai dan kediaman, dipercayai bekerja secara haram.

“Operasi ini dijalankan hasil risikan dan aduan awam mengenai kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menetap di kawasan rumah kedai dan rumah kediaman dipercayai bekerja secara haram di kawasan tersebut.

“Serbuan mengejut itu dijalankan ketika kesemua warga asing tersebut sedang berehat di rumah kedai yang dijadikan sebagai tempat tinggal dan ada antara mereka cuba melarikan diri serta bersembunyi di bahagian atas bumbung namun berjaya diberkas,” kata kenyataan media yang dikeluarkan pada Ahad.

Daripada jumlah yang ditahan, mereka terdiri daripada dua lelaki dewasa warganegara Indonesia, 12 lelaki dewasa warganegara Myanmar, 11 lelaki dewasa warganegara Pakistan, lapan lelaki dewasa warganegara Bangladesh, 12 perempuan dewasa warganegara Myanmar dan empat perempuan dewasa warganegara Indonesia.

“Hasil pemeriksaan mendapati Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

“Mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 20 tahun hingga 49 tahun,” kata kenyataan itu lagi.

Kesemua individu kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut dan tindakan susulan mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63.

Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor turut menegaskan bahawa operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan Johor kekal bebas daripada pencerobohan PATI.

“Justeru, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor kini berikrar akan kekal meneruskan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan Johor kekal bebas daripada pencerobohan PATI serta untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam,” menurut kenyataan itu.

Anda Mungkin Berminat