PETALING JAYA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman Program BUDI Madani RON95 (BUDI95) yang diumumkan pada Isnin, sebagai langkah menyasarkan subsidi petrol secara lebih adil dan berkesan.
Menerusi kenyataan media, ATM menyatakan bahawa inisiatif tersebut akan memberi manfaat awal kepada warga ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), bermula Sabtu, 27 September 2025, lebih awal daripada tarikh kuat kuasa rasmi pada Selasa, 30 September.
“Langkah ini dijangka memberi manfaat secara langsung kepada kira-kira 120,000 warga ATM, sekali gus meringankan beban kos sara hidup mereka.
“Di bawah program ini, warga ATM bersama seluruh rakyat Malaysia layak menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding harga semasa RM2.05 seliter dengan had kelayakan sebanyak 300 liter sebulan,” katanya.
ATM turut menyifatkan pengumuman Perdana Menteri yang memberi akses lebih awal kepada pasukan keselamatan sebagai cerminan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap kebajikan dan moral anggota yang sentiasa berkorban demi mempertahankan kedaulatan negara.
Pihaknya juga menzahirkan rasa terima kasih atas sokongan padu kerajaan terhadap kesejahteraan warganya dan menegaskan komitmen ATM untuk terus melaksanakan amanah menjaga keselamatan serta mempertahankan tanah air.








