PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan seorang warga China menyeludup dadah jenis ketamin seberat hampir tujuh kilogram yang disorokkan dalam dua bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), pada 28 Oktober lalu.
Menurut laporan media tempatan, Pengarah Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (LTAKL), Zulkifli Muhammad, berkata dadah seberat 6,884 gram itu dianggarkan bernilai lebih RM344,000 dan ditemui hasil pemeriksaan di Balai Ketibaan Terminal 2.
Menurut beliau, kegiatan penyeludupan itu dikesan hasil kerjasama Bahagian Penguatkuasaan JKDM LTAKL dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang melakukan imbasan terhadap bagasi milik suspek.
“Imbasan menunjukkan imej mencurigakan dan pemeriksaan lanjut menemui beberapa bungkusan plastik lutsinar berisi serbuk disyaki ketamin yang dibalut aluminium serta disorok di bahagian pelapik beg,” katanya dalam satu kenyataan.
Suspek kemudian ditahan dan diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan JKDM untuk siasatan lanjut. Ketamin disenaraikan di bawah Jadual Pertama, Bahagian III, Akta Dadah Berbahaya 1952.
Zulkifli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati.
Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan penyeludupan kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras kegiatan tersebut.
“Penyeludupan bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” tegasnya.
JKDM sebelum ini kerap menggagalkan cubaan penyeludupan dadah melalui pintu masuk utama negara termasuk KLIA dan KLIA2, dengan modus operandi yang semakin canggih menggunakan bagasi, bungkusan makanan, dan barangan peribadi bagi mengaburi pihak berkuasa.
Baca juga:








