Polis menahan seorang lelaki berusia 70 tahun dan merampas sepucuk pistol bersama 10 butir peluru dan 80 biji pil yaba dalam serbuan pukul 5.30 pagi di Kampung Gual Arang, Rantau Panjang, Kelantan pada Rabu.
Ketua Polis negeri Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, hasil pemeriksaan mendapati pistol yang dirampas itu merupakan jenis Kuzey GN19 dan siasatan lanjut mengenai dadah tersebut sedang dijalankan.
“Polis turut menangkap seorang lelaki berusia 27 tahun di Kampung Gual Machang susulan penahanan warga emas itu.
“Lelaki terebut merupakan anak kepada warga emas terbabit dan mereka akan direman selama seminggu bermula hari Khamis untuk membantu siasatan,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, menurut laporan Utusan Malaysia.
Tambahnya, suspek berusia 27 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39a (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.
Dalam perkembagan lain, Muhammad Zaki turut berkata, serbuan berasingan polis turut merampas sepucuk pistol jenis Glock dan 31 butir peluru selepas menahan sepasang suami isteri di Kampung Geting, Tengah, Tumpat.
Pasangan suami isteri yang masing-masing berumur 31 dan 26 tahun itu ditahan pada pukul 12 tengah hari selain polis turut menyita sebuah kereta jenis Perodua Kelisa.
Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM21,200 dan lelaki berkenaan memiliki 28 rekod jenayah lampau dan isterinya mempunyai tiga rekod lampau dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Baca juga:








