Warga emas maut dalam kemalangan babit 4 X 4, motosikal

Seorang warga emas maut dalam kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan pacuan empat roda di Jalan Mersing, Kampung Gajah, Kluang, Johor pada pukul 6.07 petang hari Rabu.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), PBK II Nuzul Azroy Affendy Mohamad Yusof melaporkan mangsa yang berusia 60 tahun itu merupakan penunggang motosikal jenis Honda Ex-5 maut di lokasi kejadian.

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Di samping itu, terdapat tujuh mangsa lain yang menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux mengalami kecederaan dan trauma,” katanya dalam kenyataan.

Mangsa di dalam kenderaan yang terlibat termasuk tiga orang wanita dewasa yang terselamat dan tidak mengalami kecederaan, seorang wanita dewasa yang mengalami patah kaki serta dua kanak-kanak lelaki dan seorang bayi perempuan yang mengalami kecederaan.

Nuzul Azroy memaklumkan bahawa kesemua mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom, Kluang untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

Operasi tersebut melibatkan seramai 12 orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang bersama jentera FRT, jentera LFRT dan kenderaan unit EMRS.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat