Warga emas maut dilanggar kereta ketika lintas jalan

MUAR: Seorang lelaki warga emas berusia 82 tahun meninggal dunia selepas dirempuh oleh sebuah kereta ketika melintas di Jalan Abdul Rahman, malam tadi.

Kejadian itu dilaporkan kepada polis oleh orang awam pada pukul 9.40 malam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian tersebut berlaku ketika sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun sedang bergerak menuju ke Taman Aman.

“Kereta tersebut tidak sempat mengelak pejalan kaki yang melintas secara tiba-tiba dan menyebabkan mangsa tercampak ke cermin hadapan kereta sebelum jatuh ke atas jalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kata Raiz, mangsa mengalami kecederaan dalam dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu kereta tersebut tidak mengalami kecederaan.

Tambah beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika melintas jalan dan memandu kenderaan.

Anda Mungkin Berminat