Warga emas meninggal dunia ketika redah banjir

Orang awam menjumpai mayat seorang lelaki warga emas yang dikatakan hilang ketika meredah banjir di Pekan Sungai Lembing, Kuantan, Pahang pada pukul 12.30 tengah malam hari Khamis.

Menerusi hantaran Facebook milik Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), sebelum penemuan tersebut, pihak JBPM menerima panggilan pada 9.52 malam tentang kejadian orang hilang dan dikhuatiri lemas di kawasan terbabit.

Kemudian, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota telah bergegas ke lokasi kejadian.

Menurut Komander Operasi Kanan, Mohd Hilmi Kashfi Mat Zali, JKKK Sungai Lembing mengatakan bahawa mangsa merupakan seorang lelaki berusia 60 tahun dan dikhuatiri lemas ketika mengharungi air banjir.

“Pihak kami telah menghubungi pihak PDRM Sungai Lembing dan mereka telah mengesahkan bahawa benar terdapat laporan mengenai orang yang dikhuatiri lemas di situ.

“Namun, pihak PDRM membuat makluman bahawa mangsa yang dijumpai orang awam disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya melalui hantaran itu.

Mayat mangsa telah dibawa ke Balai Polis Sungai Lembing untuk tindakan lanjut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat