BINTULU: Hasrat sekumpulan pekerja untuk berehat bertukar menjadi tragedi apabila dua individu ditemukan rentung dalam kebakaran besar yang memusnahkan sebuah blok rumah pekerja di Jalan Nyigu, awal pagi tadi.
Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai seorang wanita berusia 61 tahun dan seorang remaja lelaki berumur 15 tahun.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.01 pagi.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu segera digerakkan ke lokasi kejadian.
Blok rumah pekerja dua tingkat berstruktur tidak kekal dengan 31 pintu itu terbakar dengan pantas akibat kepadatan unit dan keadaan bangunan.
Hampir keseluruhan blok musnah dalam kebakaran tersebut.
Pasukan bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke blok berhampiran pada pukul 1.28 pagi.
Namun, ketika operasi pembersihan dan pemeriksaan sisa kebakaran dijalankan, anggota penyelamat menemui dua jasad yang telah rentung.
“Kedua-dua mangsa ditemukan di lokasi kejadian pada pukul 4.20 pagi.
“Mayat mereka kemudiannya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut serta proses pengecaman,” kata jurucakap tersebut.
Operasi memadam sisa api diteruskan bagi memastikan tiada lagi punca kebakaran tersembunyi.
Pasukan penyelamat menamatkan operasi sepenuhnya pada pukul 5.30 pagi selepas keadaan di tapak kejadian disahkan selamat.
Punca sebenar kebakaran serta jumlah kerugian harta benda masih dalam siasatan Unit Forensik Kebakaran JBPM Sarawak.








