Warga emas rugi lebih RM600,000 terpedaya pelaburan tidak wujud

Oleh: Shafira Aziz

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga emas mengalami kerugian RM655,109.80 selepas terlibat dalam penipuan pelaburan tidak wujud menerusi aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata mangsa yang berusia 73 tahun itu telah menerima pautan dari aplikasi WhatsApp daripada suspek yang bernama Tan Teng Boo.

“Pautan tersebut menawarkan pelaburan yang menjanjikan pulangan keuntungan sebanyak 90 peratus daripada modal yang dilaburkan.

“Mangsa kemudiannya berminat dengan tawaran tersebut lalu melakukan sebanyak sembilan transaksi ke lima akaun berbeza,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Namun, mangsa hanya menyedari dirinya telah ditipu selepas gagal mengeluarkan wang keuntungan yang dipaparkan hingga akaunnya telah disekat.

Balveer memaklumkan kes disiasar dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu dan pesalah akan dikenakan hukuman penjara melebihi 10 tahun dan sebat serta denda jika disabit kesalahan.

Dalam pada itu, pihak polis menyeru orang ramai untuk tidak terpedaya dengan tawaran pelaburan atas talian yang menjanjikan komisen yang tinggi untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan yang seterusnya.

Anda Mungkin Berminat