Warga Emas Tinggal Sendirian Terima Sumbangan Prihatin Kerajaan MADANI

KUANTAN: Dalam semangat perayaan Deepavali, seorang warga emas yang tinggal bersendirian di Semambu, Kuantan menerima kunjungan istimewa daripada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi.

Menurut hantaran di Facebook beliau, Neelawathy, yang menjalani kehidupan bersederhana, disapa dengan sumbangan tunai dan bakul makanan sebagai tanda keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap rakyat yang memerlukan.

Kehadiran Ahmad Farhan bukan sahaja membawa bantuan fizikal tetapi juga menyemai rasa kasih dan hormat yang mendalam.

“Walaupun hidup bersederhana, senyuman dan kesyukuran yang terpancar di wajah beliau (Neelawathy) cukup menyentuh hati.

“Itulah semangat Deepavali yang sangat saya kagumi,” katanya yang turut menyampaikan sumbangan.

Beliau berkata, inisiatif itu adalah lambang kepedulian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan MADANI terhadap kesejahteraan rakyat khususnya golongan yang terpinggir.

“Lantaran itu, sumbangan tunai dan bakul makanan yang disampaikan adalah tanda keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan MADANI kepada rakyat yang memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama,” tambahnya.

Dalam pada itu, Ahmad Farhan turut menitipkan doa agar sambutan Deepavali tahun ini membawa sinar kebahagiaan dan keharmonian buat seluruh rakyat Malaysia.

“Semoga cahaya Deepavali tahun ini membawa kebahagiaan, kedamaian dan kasih sayang dalam keluarga besar Malaysia. Deepavali Naal Vazthukkal! ” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat