PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen dekat sini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun kepada warga Israel, Avitan Shalom selepas mengaku bersalah atas tuduhan memiliki 200 peluru dan enam senjata api tanpa permit.
Ia selepas Avitan, 39 mengaku bersalah atas satu tuduhan utama dan pilihan, lapor Berita Harian.
Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Hakim Mohd Zaki Mohd Salleh yang bersidang di Kompleks Penjara Kajang mengarahkan hukuman berjalan secara serentak bermula dari tarikh tangkapan pada 28 Mac 2024.
Mengikut pertuduhan utama, Avitan, 39, didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm yang mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru, dan 42 butir peluru dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata.
Bagi pertuduhan pilihan pula, dia didakwa memiliki enam senjata api, iaitu Glock 19 USA 9×19, Sig Sauer P3205P, Cougar 8000FT, Glock 17 Gen4 Austria 9×19, M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA, dan Stoeger Cougar 8000F.
Avitan pada April tahun lalu, mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengedar enam senjata api mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Tinggi).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang antara 6.46 petang 26 Mac dan 6 petang 28 Mac tahun lalu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam memberitahu mahkamah pihak pembelaan mengemukakan representasi ketiga kepada Jabatan Peguam Negara pada 19 Feb lalu yang menyatakan Avitan sedia menjalani hukuman penjara maksimum atas tuduhan pilihan.
Peguam Avitan, Naran Singh mengesahkan pihaknya menghantar representasi tersebut.
Katanya, anak guamnya adalah pemilik syarikat pembekalan perubatan, syarikat hartanah dan syarikat mata wang kripto Bitcoin di New York, Amerika Syarikat.
Lelaki itu perlu menyara isteri yang juga seorang suri rumah serta tiga anak mereka yang berusia 16, 10, dan sembilan tahun di Israel.