PETALING JAYA: Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta mengesahkan bahawa semua warga Malaysia di Bali berada dalam keadaan selamat susulan dua bencana alam yang melanda wilayah tersebut minggu ini.
Pada 9 September, banjir besar melanda enam daerah utama di Bali iaitu Denpasar, Jembrana, Gianyar, Klungkung, Badung dan Tabanan yang mengorbankan 16 nyawa.
Kedutaan Malaysia memaklumkan bahawa tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam insiden tersebut.
“Berdasarkan rekod Kedutaan, terdapat seramai 10 warganegara Malaysia yang bermastautin di Bali.
“Sehingga 12 September 2025, tiada warganegara Malaysia yang dilaporkan terlibat dalam insiden berkenaan,” menurut kenyataan rasmi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.
Kedutaan turut menyeru agar rakyat Malaysia yang terkandas atau memerlukan bantuan segera menghubungi mereka melalui talian kecemasan yang disediakan.
Hanya beberapa hari selepas banjir, gempa bumi dilaporkan berlaku pada pukul 12.00 tengah hari, 12 September.
Walaupun gegaran dirasai di beberapa kawasan, aktiviti harian rakyat Malaysia di Bali dilaporkan berjalan seperti biasa.
“Situasi banjir dilaporkan telah surut, warganegara masih beroperasi dan kegiatan harian berjalan seperti biasa,” kata Kedutaan dalam satu lagi kenyataan susulan.
Kedutaan dan Konsul Kehormat Malaysia di Bali kini terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Luar Negeri Indonesia bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia sentiasa terjamin.
Untuk sebarang bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta +6281380180306 atau Konsul Kehormat Malaysia di Bali +62361751953 .
 
													 
													 
													







