PETALING JAYA: Jabatan Penjara mengesahkan terdapat sindiket penipuan dalam talian yang menawarkan pakej makanan istimewa untuk banduan.
Jabatan itu dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan perkara itu terbongkar selepas menerima aduan daripada keluarga dan waris banduan.
“Sindiket ini memperdaya waris melalui pesanan ringkas WhatsApp.
“Mereka dilaporkan menyamar sebagai pegawai penjara dengan nama samaran seperti Sarjan Haziq, Sarjan Akmal, Sarjan Nazri dan lain-lain,” katanya.
Tambahnya, sindiket juga menggunakan pelbagai nombor telefon dan meminta wang untuk pembelian makanan istimewa bagi banduan serta menggunakan akaun bank tumpangan untuk transaksi.
“Mangsa yang terlibat telah membuat laporan polis dan Jabatan Penjara bekerjasama untuk membantu siasatan,” katanya.
Jabatan itu menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab jika terdapat unsur kecuaian atau kelemahan prosedur.
Sehubungan itu, ahli keluarga dinasihatkan tidak membuat sebarang transaksi wang kepada individu atau akaun yang mencurigakan.
“Laporkan sebarang pesanan yang mencurigakan kepada balai polis dan institusi penjara bagi tindakan lanjut.
“Jabatan Penjara komited memastikan keselamatan dan kesejahteraan banduan serta keluarga mereka daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya.