PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyampaikan sumbangan RM15,000 kepada 15 orang anak-anak mangsa tragedi kemalangan membabitkan trak pasukan simpanan persekutuan (FRU) dan lori muatan batu di Jalan Chikus, Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan di Facebook, agensi itu menyifatkan bantuan itu sebagai sokongan awal untuk pendidikan mereka dengan masing-masing menerima RM1,000 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berharap tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan manfaat perlindungan takaful serta khairat kematian Simpan SSPN itu dapat membantu meringankan beban kewangan waris pendeposit yang kehilangan insan tersayang.
“Walaupun tiada nilai yang dapat menggantikan kehilangan tersebut, manfaat yang diterima diharapkan mampu menjamin pendidikan anak-anak Allahyarham serta memberikan sokongan kepada kelangsungan hidup mereka.
“Simpan SSPN bukan sekadar simpanan, ia adalah pelindung, penyambung harapan dan bukti bahawa kasih seorang ayah tidak pernah terhenti walaupun jasad telah pergi,” katanya.
Pada 13 Mei lalu, negara dikejutkan dengan tragedi kemalangan membabitkan trak pasukan FRU dan lori muatan batu di Jalan Chikus, Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak. Antara yang terkorban ialah dua anggota FRU yang juga ayah kepada anak-anak yang masih kecil, Mohd Roslan Abd Rahim, 46 dan Amiruddin Zabri, 38 tahun.
Mohd Roslan telah membuka akaun Simpan SSPN Prime untuk dirinya pada Mei 2025 dan tiga akaun Simpan SSPN Plus untuk anak-anak sejak tahun 2019. Langkah kecil itu kini membawa makna besar dengan waris beliau menerima manfaat keseluruhan RM193,000 meliputi perlindungan takaful kemalangan dan khairat kematian.
Manakala waris Amiruddin yang juga pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuka akaun pada 7 Mei 2025 pula menerima manfaat takaful dan khairat kematian berjumlah RM4,000.
Baca juga: