Warisan Adat Perpatih Disemarak Melalui Program Kampung Angkat MADANI JPA

KUALA PILAH: Keunikan adat warisan Perpatih terus disemarakkan melalui Program Adat dan Tradisi Kampung Angkat MADANI anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) 2025 yang berlangsung meriah di Kampung Sungai Layang, Seri Menanti pada Ahad.

Majlis perasmian disempurnakan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz yang menekankan bahawa penghayatan warisan adalah asas penting dalam membina muafakat dan perpaduan masyarakat.

JPA dalam satu kenyataan berkata, program itu memperlihatkan dua adat utama Perpatih iaitu Adat Menerang Buapak dan Adat Berkodim, yang masing-masing melambangkan nilai kepimpinan, persaudaraan dan amanah dalam kehidupan bermasyarakat.

Keistimewaan adat itu menurutnya bukan sahaja dikekalkan sebagai ritual tradisi, malah terus disesuaikan dengan ajaran Islam agar kekal relevan dan serasi dengan tuntutan zaman.

Ia membuktikan bahawa adat bukan sekadar warisan tetapi mampu bergerak seiring dengan nilai-nilai moden.

“Majlis seperti ini bukan sahaja memperingati warisan, tetapi juga mengingatkan kita bahawa nilai-nilai lama yang baik boleh terus hidup subur bersama nilai-nilai aspirasi baharu,” kata JPA.

JPA turut menyeru agar generasi muda tidak melihat adat hanya sebagai ritual tetapi menjadikannya panduan hidup yang membentuk disiplin, perpaduan dan rasa cinta tanah air.

JPA turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, institusi adat serta komuniti setempat yang berganding bahu menjayakan program ini.

Usaha itu dilihat bukan sahaja sebagai penghayatan budaya, malah berpotensi diperluaskan sebagai produk pelancongan yang memperkenalkan kekayaan adat kepada masyarakat lebih luas.

Melalui penganjuran program itu, warisan bukan sahaja dipelihara tetapi turut dijadikan jambatan untuk menyatukan rakyat seiring dengan semangat Malaysia MADANI.

Anda Mungkin Berminat