Warisan negara mampu pacu ekonomi negara, jangan anggap beban – Anwar

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan warisan negara tidak seharusnya dilihat sebagai beban masa lalu, tetapi sebagai aset strategik yang mampu memacu sektor pelancongan, industri kreatif, peluang pekerjaan, serta mengukuhkan ekosistem perniagaan tempatan.

Menerusi satu ucapan beliau berkata, bangunan-bangunan warisan yang dipulihara semula merupakan antara strategi utama dalam menarik kedatangan pelancong domestik dan antarabangsa.

Beliau memberi contoh seperti Bangunan Sultan Abdul Samad (BSAS) di Jalan Raja, yang pemuliharaannya bukan sekadar untuk mengulang nostalgia, tetapi untuk memastikan sejarah terus hidup, difahami, dan dijadikan pedoman bagi menghadapi cabaran masa depan.

“Usaha ini adalah teras kepada inisiatif WARISAN KL, sebuah pendekatan strategik kerajaan untuk menghidupkan kembali tapak-tapak warisan utama Kuala Lumpur sebagai pemangkin pembangunan ekonomi bandar berasaskan budaya,” kata Anwar, ketika berucap pada majlis penyempurnaan pemuliharaan BSAS oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Sabtu.

Turut hadir sama pada majlis tersebut adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Perdana Menteri turut menekankan bahawa warisan negara bukan sekadar simbol sejarah, tetapi juga aset strategik yang berupaya menjana kegiatan pelancongan, budaya, seni, serta menggerakkan industri kreatif dan peluang pekerjaan.

“Pendekatan ini juga sejajar dengan persiapan negara untuk Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Warisan adalah aset strategik yang mampu menjana sektor pelancongan, budaya, seni, dan ekonomi tempatan, termasuk di kalangan peniaga kecil,” katanya.

Beliau turut menambah, usaha ini mencerminkan hasrat kerajaan untuk membina Kuala Lumpur yang moden, indah, dan dinamik, tetapi tetap berakar kepada sejarah dan nilai-nilai murni.

“Dalam Belanjawan 2026, projek ini akan merangkumi pemuliharaan keseluruhan enam blok bangunan Sultan Abdul Samad, serta bangunan-bangunan berkaitan seperti Seri Negara dan Karkosa di Bukit Karkosa,” ujarnya.

Selain itu, pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad juga akan menjadi simbol identiti negara, di mana ia akan menempatkan Galeri Bandaraya Kuala Lumpur, yang mengisahkan perjalanan bangunan ini dan perkembangan ibu kota Kuala Lumpur melalui lima tema bersejarah.

Kata beliau lagi, Galeri Royal Selangor pula akan mempamerkan seni kraft pewter yang mencerminkan legasi ekonomi, kreativiti, dan daya usaha masyarakat Kuala Lumpur yang berkait rapat dengan sejarah perlombongan dan bijetima.

Anwar yakin, dengan pemuliharaan ini, Bangunan Sultan Abdul Samad dan kompleks bersejarah lain akan menjadi ikon identiti negara yang tidak hanya memperingati sejarah, tetapi juga memberi inspirasi dan mendidik generasi masa depan.

“Saya yakin bahawa bangunan-bangunan warisan ini akan terus hidup sebagai ruang yang mendidik, menyatukan, dan memberi inspirasi. Ia bukan hanya untuk dikenang, tetapi untuk dimanfaatkan oleh generasi hari ini dan pewaris masa depan,” tambahnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat