Warisan umum tanding semua 73 kerusi PRN Sabah ke-17

KOLOMBONG: Parti Warisan akan meletakkan calon di kesemua 73 kerusi Dewan Undangan(DU) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, berbanding hanya 46 kerusi pada PRN lalu.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata keputusan itu menandakan kesungguhan Warisan untuk kembali memperkukuh kedudukan politik di negeri ini serta membawa naratif baharu demi masa depan Sabah.

 “Ini bukan sekadar pilihan raya tetapi perjuangan untuk masa depan anak-anak Sabah. Jangan biarkan Sabah terus ketinggalan kerana politik yang memecah-belah. Mari kita satukan tenaga, satu hati, satu tujuan, satu Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Watikah dan Pengumuman Calon Warisan di Kolombong, hari ini.

Menurut Shafie, kira-kira 60 peratus calon Warisan terdiri daripada muka baharu, manakala 30 peratus merupakan calon muda, selaras dengan hasrat parti memperbaharui kepimpinan dan mendekatkan diri dengan pengundi generasi baharu.

Pada PRN Sabah ke-16, Warisan memenangi 23 kerusi, manakala DAP yang bertanding menggunakan logo Warisan ketika itu memperoleh enam kerusi.

Secara keseluruhan, gabungan Warisan Plus yang turut disertai PKR dan UPKO, berjaya menguasai 32 kerusi DUN.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat