Warkah suami pesakit kanser kepada PM, dapat perhatian segera

PETALING JAYA: Sebuah kisah yang menyentuh hati, Mohd Azril, seorang suami menjadi tular di TikTok selepas menulis surat memohon bantuan untuk isterinya, Roszielawati.

Kisah ini menggambarkan kecekalan seorang suami dan anaknya, Muhammad Syahadan, dalam mencari rawatan terbaik untuk insan tersayang yang juga seorang isteri dan ibu.

Lantaran itu, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi telah turun padang mengambil tindakan segera bagi pihak Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyalurkan bantuan kepada keluarga ini.

“Roszielawati yang sebelum ini menghidap kanser payudara, kini menghadapi cabaran lebih besar apabila penyakit itu merebak ke saraf tulang belakang.

“Keadaan ini menyebabkan beliau terlantar dan memerlukan penjagaan rapi serta rawatan berterusan.

“Kos perubatan yang tinggi menjadi cabaran utama buat keluarga ini,” menurut perkongsian di Facebook Anwar.

Difahamkan, dalam usaha membantu, pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di mana tempat Roszielawati pernah berkhidmat telah tampil memberikan sokongan dengan menawarkan pekerjaan kepada anak sulungnya.

Katanya, langkah itu diambil sebagai usaha meringankan beban kewangan keluarga itu.

“Semoga Roszielawati diberikan kesembuhan oleh Allah SWT dan memberi ketabahan kepada seluruh keluarga,” katanya.

Anda Mungkin Berminat