Oleh: Aliyaa Azmi
KOTA BHARU: Kota Bharu bersinar dalam limpahan cahaya dan semangat rakyat apabila lebih 50,000 penduduk Kelantan membanjiri jalan utama malam tadi untuk menyaksikan perarakan kereta berhias sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang ke-56.
Dari Kompleks Kota Darulnaim hingga ke Stadium Sultan Muhammad IV, suasana bertukar menjadi pesta penuh warna dan budaya.
Pancaran lampu neon, iringan muzik tradisional dan sorakan rakyat mengiringi 18 kereta berhias yang tampil dengan rekaan kreatif bertemakan warisan, sejarah dan keindahan negeri Cik Siti Wan Kembang.
Perarakan yang dinanti saban tahun itu turut diserikan oleh Pasukan Bergajah, Pasukan Berkuda, 56 hulu balang, 10 beca berhias serta konvoi motosikal berkuasa tinggi yang menjadikan laluan perarakan bagaikan pentas terbuka yang meraikan cinta dan kesetiaan rakyat kepada institusi diraja.
Sultan Muhammad V berkenan mencemar duli menyaksikan perarakan penuh gilang-gemilang itu bersama rakyat jelata, disambut dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ yang bergema di sepanjang laluan.

Antara agensi yang menyertai perarakan ialah Majlis Daerah Tumpat, Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh, MARDI Kelantan, Majlis Daerah Ketereh, Perbandaran Islam, MPKB-BRI, KADA dan Jabatan Kerja Raya (JKR), masing-masing menampilkan kreativiti tersendiri dengan gabungan elemen moden dan tradisional.
Bagi Alisa Fouzi, 34, suasana malam tadi amat mengujakan, apatah lagi selepas bertahun-tahun menantikan semula perarakan sebegini.
“Kami datang sekeluarga seawal 7.30 malam. Anak-anak saya terpegun tengok kereta berhias berlampu warna-warni. Macam tengok perarakan di istana,” katanya.
Sementara itu, Azri Azmi, 35, mengakui suasana kali ini cukup luar biasa dan membawa nostalgia buat rakyat negeri itu.
“Dah lebih 10 tahun tiada perarakan seperti ini. Malam ini rasa semangat tu hidup balik.
“Semua lapisan masyarakat turun menyambut suasana penuh kasih dan bangga terhadap Tuanku,” katanya.
Sorakan rakyat, pancaran lampu dan deruan muzik tradisional menjadikan malam itu bukan sekadar sambutan tetapi lambang kesetiaan dan kecintaan rakyat Kelantan terhadap Sultan mereka.
Perarakan kereta berhias itu bukan sekadar tontonan tetapi ia adalah simbol kasih, perpaduan dan kebanggaan negeri Kelantan yang terus hidup dalam warna dan cahaya.








