PETALING JAYA: Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap seorang wartawan portal Malaysiakini dengan keadilan.
Setiausaha Agung NUJM, Teh Athira Yusof berkata, siasatan itu tidak bertujuan menekan atau menyekat sebarang kebebasan media di negara ini.
“NUJM mengambil maklum akan penahanan reman seorang wartawan Malaysiakini yang juga ahli NUJM dari Malaysiakini oleh SPRM, pada malam tadi.
“NUJM dimaklumkan, dia direman di Mahkamah Majistret Putrajaya pada pagi ini selepas ditahan pegawai penyiasat sekitar jam 11.30 malam, mengikut Seksyen 16 Akta SPRM.
“Oleh demikian, NUJM berharap sebarang siasatan yang dilakukan oleh SPRM memberi keadilan kepada semua pihak dan tidak bertujuan menekan atau menyekat sebarang kebebasan media di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Terdahulu, memetik laporan portal tersebut, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, penahanan wartawan lelaki itu dibuat berhubung dakwaan kes rasuah, dan bukannya mengenai sebarang laporan berita yang ditulisnya.
“Wartawan itu dipercayai meminta sejumlah wang daripada seorang ejen pekerja asing RM20,000 untuk tidak mengeluarkan artikel berhubung isu penyeludupan pendatang asing,” katanya.
Wartawan berkenaan kini direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Dalam pada itu, pengurusan portal berkenaan berkata, pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku yang melibatkan kakitangan mereka.
Baca juga: