Oleh: Tyah Helmi
SAMBUTAN kepulangan 23 rakyat Malaysia Misi Global Sumud Flotilla (GSF) di lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 malam tadi terasa ‘asing’ sedikit apabila kelibat bekas wartawan, Zainal Rashid Ahmad atau ZRA ‘hilang’.
Ketiadaannya itu kemudian dijelaskan oleh wartawan, Luqmanul Arif bahawa ZRA memilih untuk pulang secara senyap dengan alasan tersendiri.
Beliau berpandangan bahawa ZRA tidak memerlukan perhatian kerana fokus beliau hanya terhadap tugasan sebenar di lapangan.
“Beliau tidak perlukan perhatian, dia punya waktu menonjol adalah ketika semasa beliau membuat Tiktok Live bagi menceritakan segala tentang kisah botnya dipintas Israel.
“Setelah itu, tugasan beliau selesai,” katanya.
Tambah Luqman, ZRA lebih memilih untuk terus beredar bersama rakan wartawan lain tanpa menunggu liputan media kerana tumpuan beliau kini beralih kepada usaha seterusnya bagi menyokong perjuangan kemanusiaan di Palestin.
“Bila dah bebas, beliau terus keluar dan balik bersama rakan taulan wartawannya, dia tidak perlu perhatian, sebab kerja dia tidak selesai lagi, dia balik rumah, rehat sekejap dan terus menyusun strategi langkah seterusnya membantu saudara-saudara kita di Gaza,” katanya.
Lagipun katanya, ianya bagai hari Isnin yakni waktu kerja yang seterusnya sebagai seorang wartawan.
Menurut perkongsian seorang rakannya, Syahril A Kadir, ZRA tiba di rumah kira-kira jam 12.30 pagi dalam keadaan letih namun masih mengekalkan gaya ‘rugged’ yang menjadi identitinya.
“Ini ajalah yang ada,” kata ZRA kepada rakan-rakannya sambil menunjuk ke arah satu-satunya beg pakaian yang dibawa, dipercayai berisi barangan peribadi dan ubat-ubatan.
Baca juga:








