Wartawan tegakkan kebenaran ketika masyarakat keliru dan penuh spekulasi – Fahmi

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Hari Wartawan Nasional menjadi bukti bahawa wartawan sentiasa berdiri di barisan hadapan sebagai benteng yang mempertahankan integriti maklumat negara.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata peranan wartawan tidak terbatas dengan hanya mencatat peristiwa semata-mata, pengamal media antara suara penting yang menegakkan kebenaran ketika masyarakat berdepan kekeliruan dan spekulasi.

“Setiap berita yang disampaikan memerlukan penelitian, pengesahan dan rasa tanggungjawab yang tinggi, kerana kepercayaan masyarakat bukan sesuatu yang boleh diperoleh dengan mudah, tetapi lahir daripada kejujuran, ketelusan dan kesungguhan yang konsisten,” katanya.

Fahmi turut menegaskan ketika mana integriti dijadikan pegangan, dan kebenaran menjadi keutamaan, wartawan akan terus berdiri sebagai benteng maklumat yang sahih, kerana pada akhirnya, kewartawanan bukan hanya tentang menyampaikan berita, tetapi tentang memelihara amanah dan mempertahankan kepercayaan.

Justeru, beliau mengucapkan kepada seluruh wartawan dan pengamal media selamat menyambut Hari Wartawan Nasional di negara ini.

Tidak ketinggalan juga apabila Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh wartawan dan pengamal media yang sentiasa komited menyampaikan berita sahih, tepat dan berintegriti demi masyarakat dan negara.

Selain itu, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) turut menyampaikan penghormatan tertinggi kepada para wartawan dan turut mengimbas kembali laporan global 𝘊𝘰𝘮𝘮𝘪𝘵𝘵𝘦𝘦 𝘵𝘰 𝘗𝘳𝘰𝘵𝘦𝘤𝘵 𝘑𝘰𝘶𝘳𝘯𝘢𝘭𝘪𝘴𝘵𝘴 (CPJ), komuniti media baru sahaja melewati tahun paling berdarah dalam sejarah moden pada 2025 dengan kehilangan 129 nyawa pengamal media akibat konflik bersenjata global terutamanya pembunuhan terancang pengganas Israel yang bertanggungjawab 2/3 jumlah pembunuhan wartawan.

“Hari ini, kita memberikan penghormatan tertinggi kepada wira-wira yang tidak didendang iaitu para wartawan dan pengamal media yang berdiri di barisan hadapan demi menyampaikan kebenaran,” katanya.

Lebih menuntun hati lagi apabila Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga media yang terus komited melaksanakan amanah ketika negara berdepan cabaran, bencana mahupun detik-detik bersejarah.

“Wartawan hadir merentas batas masa dan keadaan bagi memastikan rakyat menerima maklumat yang tepat, sahih dan dipercayai.

“Angkatan Tentera Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga media yang terus komited melaksanakan amanah,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat