Wartawan Terbunuh di Gaza, Lebih 270 Pengamal Media Maut Sejak 2023

GAZA: Wartawan Palestin terkenal, Saleh Aljafarawi, 28, dilaporkan maut selepas ditembak oleh individu bersenjata di Bandaraya Gaza, sekali gus menjadikan jumlah kematian pengamal media di wilayah itu melebihi 270 orang sejak perang tercetus pada Oktober 2023.

Rakaman video yang dikongsikan oleh wartawan dan aktivis tempatan menunjukkan tubuh Aljafarawi memakai jaket keselamatan bertanda ‘press’ terbaring di belakang sebuah trak.

Video berkenaan kemudian disahkan keasliannya oleh agensi pengesahan Sanad milik Al Jazeera.

Menurut laporan, kejadian itu berlaku ketika pertempuran meletus antara pasukan keselamatan Palestin dan kumpulan bersenjata di kejiranan al-Sabra, salah satu kawasan yang mengalami kemusnahan teruk akibat peperangan.

Aljafarawi, yang sebelum ini dipindahkan dari Gaza utara, dikenali ramai menerusi liputan lapangan dan video yang merakam kesan kemusnahan perang serta penderitaan rakyat Palestin.

Beliau pernah mendedahkan menerima ancaman daripada pihak Israel susulan laporan dan dokumentasi visual yang disiarkannya di media sosial dan agensi berita antarabangsa.

Menurut badan pemantau media antarabangsa, konflik Israel-Gaza kini dianggap sebagai krisis paling berdarah dalam sejarah kewartawanan moden, dengan lebih 270 wartawan dan pekerja media terbunuh sejak Oktober 2023.

Kematian Aljafarawi menambah satu lagi episod tragik terhadap senarai panjang wartawan Palestin yang terkorban ketika menjalankan tugas melaporkan realiti di zon perang Gaza.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat