PETALING JAYA: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk P. Waytha Moorthy memohon maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas membuat kenyataan tidak tepat mengenai keputusan kerajaan berhubung tempoh perkhidmatan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Permohonan maaf itu disampaikan yang juga Pengerusi Parti Pembangunan Malaysia (MAP) menerusi satu kenyataan di Facebook hari ini.
Beliau menjelaskan, kenyataannya sebelum ini yang mendakwa Anwar mempunyai “niat tersembunyi” di sebalik keputusan tidak melanjutkan tempoh perkhidmatan Tengku Maimun adalah berdasarkan maklumat yang tidak sahih.
“Saya secara silap menyatakan (Anwar) tidak melanjutkan tempoh perkhidmatan bekas Ketua Hakim Negara kerana beliau pernah memberikan penghakiman melibatkan (Anwar) di Mahkamah Rayuan, berdasarkan maklumat yang disampaikan kepada saya sebelumnya,” katanya.
Namun selepas meneliti rekod rasmi kehakiman, Waytha mengakui Tengku Maimun tidak pernah menjadi sebahagian daripada mana-mana panel hakim dalam kes rayuan membabitkan Anwar.
“Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan mengakui kenyataan itu tidak benar serta berlaku akibat kesilapan tanpa niat buruk di pihak saya. Saya dengan ikhlas memohon maaf kepada (Anwar) atas kesilapan fakta ini serta sebarang salah faham atau persepsi negatif yang mungkin timbul,” jelasnya lagi.
Waytha turut memohon maaf kepada Tengku Maimun atas kekeliruan yang timbul dan menyeru agar semua pihak yang telah merakam atau menyiarkan kenyataannya itu memadam kandungan berkenaan bagi mengelak penyebaran maklumat tidak tepat.
Untuk rekod, Tengku Maimun berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara dari 2 Mei 2019 hingga 1 Julai tahun ini sebelum bersara wajib.
Permohonan maaf tersebut dianggap signifikan kerana Waytha sebelum ini dikenali sebagai antara pengkritik lantang terhadap Anwar.
Pada 12 Ogos lalu, beliau memfailkan tindakan undang-undang bagi mencabar kesahihan status Anwar sebagai Ahli Parlimen dan Perdana Menteri, termasuk memohon pengisytiharan mahkamah bahawa kemenangan Anwar di kerusi Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 serta pelantikannya sebagai Perdana Menteri adalah tidak sah.
Baca juga:








