GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan risiko penularan hantavirus ketika ini masih rendah dan tidak setanding dengan pandemik COVID-19, susulan kebimbangan antarabangsa mengenai kes jangkitan yang dikesan di sebuah kapal persiaran.
Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, situasi semasa masih terkawal dan tidak menunjukkan tanda penularan meluas kepada masyarakat global.
“Risiko kepada dunia secara keseluruhan adalah rendah,” katanya.
WHO memaklumkan wabak yang berlaku di atas kapal persiaran itu tidak mempunyai ciri penularan seperti COVID-19, namun pemantauan rapi tetap diteruskan.
Pakar kesihatan mengesahkan virus yang dikesan ialah strain “Andes”, iaitu satu-satunya jenis hantavirus yang diketahui boleh merebak antara manusia.
Kapal persiaran MV Hondius dijadual tiba di Tenerife, Sepanyol dalam tempoh tiga hari, manakala proses pemindahan penumpang dijangka bermula pada 11 Mei.
Sebelum ini, kapal berkenaan mencetuskan kebimbangan selepas tiga kematian dilaporkan melibatkan penumpang dan kru akibat jangkitan hantavirus.
Pakar WHO, Anais Legand berkata kes pertama di atas kapal dipercayai bukan berlaku semasa pelayaran memandangkan tempoh inkubasi virus tersebut antara satu hingga enam minggu.
Menurut beliau, perkara itu menunjukkan jangkitan berkemungkinan berlaku sebelum pelayaran bermula.
Sementara itu, seorang penumpang dikenali sebagai Ruhi Cenet mendakwa pihak kapal pada awalnya tidak menyedari tahap serius wabak berkenaan.
“Mereka langsung tidak mempertimbangkan kemungkinan penyakit berjangkit seperti ini dan tidak memandang serius isu tersebut,” katanya.
Terdahulu, tiga individu termasuk dua kru kapal yang mengalami gejala telah dipindahkan dari kapal itu di Cape Verde sebelum dibawa ke beberapa negara Eropah termasuk Belanda dan Jerman untuk menerima rawatan.
Baca juga:








